Panasonic-Sanyo pindah kilang ke Kedah

SANYO Electric Co Ltd akan menutup kilang wafer solarnya di California bagi memulakan operasi pengeluaran panel solar di Malaysia susulan jangkaan permintaan kukuh perkakasan berkenaan di rantau ini.

Kilang milik anak syarikat Panasonic Corp, yang terletak di Taman Teknologi Kulim, Kedah akan mengeluarkan wafer 300 megawatts (MW), sel solar dan modul apabila memulakan operasinya pada Disember tahun ini, menurut laporan Bloomberg, semalam.

Agensi berita itu berkata, Sanyo bagaimanapun akan mengekalkan operasi kilang 70MW di Salem, Oregon, yang juga mengeluarkan wafer dan jongkong silikon.

Panasonic Corp, berkata kilangnya di California akan ditutup, Oktober ini kerana peralatannya yang sudah lama dan syarikat berasakan adalah sukar untuk ia mengembangkan perniagaan kerana keluasan kawasan yang terhad.

“Persaingan harga juga menjadi semakin sukar,” menurut jurucakap Panasonic, Masatsugu Uemura, yang dipetik oleh Bloomberg.

Selain itu, harga bagi panel solar dan bahan mentah menyusut tahun lalu kerana pengeluar China meningkatkan pengeluaran yang membawa kepada kapasiti berlebihan selepas kerajaan Eropah mengambil langkah mengurangkan subsidi.

Penutupan kilang di Carson yang sudah beroperasi selama sembilan tahun itu, yang mengeluarkan sebanyak jongkong silikon 30 MW dan wafer bagi sel solar setahun, memberi kesan kepada 140 pekerjanya.
Pemberhentian pekerjaan itu bersamaan dengan 40 peratus daripada tenaga kerja Sanyo di Amerika Syarikat, kata laporan itu.

Sanyo adalah antara syarikat elektronik terbesar dan juga ahli kepada Fortune 500, yang berpangkalan di Moriguchi, Wilayah Osaka di Jepun. Syarikat itu menyasarkan pasaran pertengahan dan mempunyai lebih 230 syarikat serta syarikat sekutu.

Pada 21 Disember 2009, Panasonic menyelesaikan pembelian 50.2 peratus saham bernilai 400 bilion yen (RM13.5 bilion) dalam Sanyo, yang menjadikannya antara anak syarikat Panasonic.

Pada Julai 2010, Panasonic mengumumkan syarikat akan membeli baki saham dalam Sanyo.

Panasonic Corp sebelum ini dilaporkan merancang melabur sekitar RM2 bilion bagi membina kilang pengeluaran panel solar di negara ini.

Jika menjadi kenyataan, kilang yang disasarkan meningkatkan kapasiti pengeluaran sel solar syarikat itu sebanyak 1.5 kali ganda, akan menjadi kilang pengeluaran bahan itu yang pertamanya di luar Jepun.

Sumber Berita Harian

Komen Facebook